Home » , , , , » Mesej Rasulullah dan Nelson Mandela - Dr Mashitah Ibrahim

Mesej Rasulullah dan Nelson Mandela - Dr Mashitah Ibrahim


PEMIMPIN dan masyarakat dunia berasa kehilangan Nelson Mandela yang meninggal dunia awal bulan ini.

Dipenjara 27 tahun dan kemudian menjadi Presiden Afrika Selatan, beliau akan dikenang sejarah kerana toleransi dan keikhlasannya mengampunkan rejim aparteid yang menekan rakyat kulit hitam negaranya begitu lama. Walaupun secara peribadi beliau dianiayai, Mandela tidak berdendam.

Mesej keamanan yang dibawanya telah mempercepatkan proses perpaduan nasional di republik itu. Toleransi dan sikap pemaaf yang ditunjukkan Mandela adalah nilai universal yang Islamik kerana Islam adalah ajaran yang sangat cintakan perdamaian.

Bagi umat Islam, tiada contoh lebih baik daripada Nabi Muhammad SAW. Hakikat ini diakui bukan saja oleh sarjana Muslim tetapi juga cendekiawan dan tokoh sejarah Barat/Kristian. Stanley Lane-Poole, dalam buku The Speeches and Table Talk of the Prophet Mohammad, menyatakan kekagumannya dan memuji sikap toleransi Rasulullah SAW ketika Fath Makkah.

Katanya: “The day of Mohammad’s greatest triumph over his enemies was also the day of his grandest victory over himself. He freely forgave the Koraysh all the years of sorrow and cruel scorn in which they had afflicted him and gave an amnesty to the whole population of Mecca (the city of his bitterest enemies)...The army followed his example, and entered quietly and peacefully; no house was robbed, no women insulted.”

Thomas W Arnold (The Preaching of Islam, Ashraf Press, Pakistan, 1968) dan ‘Abd al ‘Aziz ‘Uthman al-Tuwayjiri (Al-Islam wa al-Ta’ayusyi Bain al-Adyan fi Ufuq al-Qarn al-Hadi wa al-‘Isrin, Morocco, 1998) menolak tuduhan bahawa penyebaran dan perkembangan Islam yang begitu pesat adalah melalui perang atau secara kekerasan. Satu contoh klasik ialah ketika Sultan Salahuddin al-Ayyubi (1169-1193H) menakluki Palestin pada 1187 dan menguasai semula wilayah Baitulmaqdis yang berada dalam tawanan tentera Salib sejak 1099.

Beliau tidak membalas dendam atau membunuh tentera Salib walaupun mereka telah membunuh begitu ramai pejuang Islam sepanjang 88 tahun. Hugh Goddard dalam buku A History of Christian-Muslim Relations (Edinburgh University Press Ltd, Edinburgh, 2000) memetik seorang saksi, Raymond of Aguilers, yang berkata dia terpaksa berjalan di celah-celah mayat tentera Islam yang bergelimpangan. Lebih 40,000 dibunuh dalam tempoh dua hari, darah yang mengalir mencecah ke paras lutut.

Ditanya kenapa beliau tidak membalas dendam, Salahuddin menjawab: “Sesungguhnya agama ku melarang menyeksa sesiapa pun. Hati murni ku juga mencegah aku daripada melakukan pembalasan sebagaimana yang telah mereka lakukan kerana agama kami melarang kami membalas perbuatan kejam sebagaimana yang dilakukan musuh kami. Kami diperintahkan agama menepati janji, memaafkan perbuatan buruk mereka dan melupakan kekejaman yang pernah dilakukan ketika berkuasa.”

Banyak petunjuk dalam al-Quran yang menyeru kepada toleransi, termasuk dalam soal keagamaan dalam masyarakat majmuk. Toleransi dalam ajaran Islam membawa kepada perpaduan, keharmonian dan kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat.

Islam mengajar umatnya menghindari perbuatan yang boleh mencederakan orang lain atau menimbulkan ketidakadilan. Al-Qurtubi berkata kekufuran seseorang bukan penghalang untuk mereka mendapat keadilan. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Dar al-Kutub al-Ilmiah Jilid III, 1996).

Ayat 99 Surah Yunus, Ayat 256 Surah Al-Baqarah, ayat 8 Surah Al-Maidah dan ayat 108 Surah Al-An’am sering diguna untuk membuktikan prinsip toleransi dan keadilan dalam Islam. Umat Islam dilarang mencerca sembahan penganut agama lain, sebagaimana kita juga tidak mahu menganut agama lain menghina Islam. Paling ideal ialah apabila pihak Muslim dan bukan Muslim sama menghayatinya.

Kita tidak mahu lagi melihat peristiwa seperti bangkai babi dalam masjid, kepala lembu dipijak, gereja dibakar atau serangan ke atas kuil Hindu yang pernah berlaku di Kerling, Selangor 34 tahun lalu. Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik.

Lakukanlah kebaikan selama dan selagi ia tidak menyentuh soal akidah. Akidah yang benar adalah yang bebas daripada unsur kebatilan dan kesyirikan. Moga-moga dengan cara ini, kita akan dapat kembalikan kejernihan dan perpaduan dalam masyarakat kita yang majmuk ini

#Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts