Pada tahun-tahun lewat 70-an dan awal 80-an, adalah zaman awal banyak anak-anak muda Melayu mendapat peluang belajar keluar negara.
Dalam satu projek kejuruteraan sosial besar-besaran, kerajaan Malaysia percaya melalui pendidikan tinggi di luar negara, anak-anak Melayu ini kelak akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan bangsa dan seterusnya menepati harapan dasar Ekonomi Baru (DEB).
Masa itu usaha bagi mencapai matlamat DEB sedang rancak dilakukan dengan harapan amat tinggi agar lahirlah generasi profesional Melayu yang terdedah kepada pendidikan bermutu di Barat.
Tetapi pada waktu yang sama dunia dilanda oleh apa disebut sebagai kebangkitan semula agama Islam.Istilah yang digunakan oleh pihak Barat ialah fundamentalisme.Perang Dingin sedang berlaku di mana disaksikan pertembungan sesama negara-negara Islam, iaitu antara yang bersekutu dengan Soviet dengan yang memihak pada Amerika.
Kekayaan minyak dan masalah Palestin menimbulkan kesedaran mengenai nasib orang Islam yang ketinggalan dengan menolak apa yang ditawarkan oleh Barat.
Akhirnya keadaan ini mendorong kepada usaha kembali kepada ajaran Islam yang dianggap sebenar, bersih dari pengaruh fahaman-fahaman Barat.
Sememangnya golongan yang mudah menerima pengaruh ini adalah kalangan pelajar-pelajar. Ia berlaku di banyak tempat di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Cumanya pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara lebih terdedah dengan fikiran-fikiran sebegini kerana sifat masyarakat Barat yang terbuka.
Maka muncullah gerakan dakwah di kalangan pelajar Malaysia di luar negara. Kegiatan mereka ini muncul dalam bentuk kumpulan-kumpulan kecil yang dikenali sebagai usrah.
Maka dari sini, mereka berusaha untuk hidup menurut ajaran Islam mengikut fahaman mereka secara ideal, ketat dan eksklusif.
Mereka membayangkan akan dapat hidup sebagai seorang Islam yang penuh idealistik dengan keinginan untuk mencapai kesempurnaan.
Bukan saja dari segi pemikiran dan amal ibadat tetapi juga dalam kehidupan berkeluarga. Maka pelajar-pelajar ini akan mencari pasangan untuk mendirikan rumah tangga yang dianggap sebagai ideal dan Islamik.
Tentunya pelajar-pelajar lelaki yang pandai berceramah atau berhujah akan dikagumi oleh pelajar-pelajar perempuan yang mendambakan suami yang soleh.
Begitu juga di pihak lelaki, mereka juga menginginkan isteri yang solehah dan perkara itu diharapkan dapat diperoleh daripada pelajar-pelajar perempuan yang mengikuti usrah-usrah mereka.
Dengan kelayakan profesional dan pendidikan tinggi, mereka sudah mendapat pekerjaan yang berpendapatan baik di tanah air. Mereka juga berkeluarga dan berhadapan dengan realiti hidup dalam masyarakat yang tidak ideal. Apakah yang dikatakan masyarakat ideal? Perkembangan masyarakat hanya mengikut fitrah alam. Persekitaran, sejarah, biologi dan psikologi manusia menghasilkan bentuk sosial tertentu. Idealisme berada dalam fikiran manusia tetapi realiti masyarakat sukar hendak menepati idealisme itu. Pelbagai penyesuaian dan aksi serta reaksi sesuatu dinamika masyarakat menjadikan keadaan apa yang sebenarnya berlaku.
Di kalangan orang Islam yang idealis tentu juga mereka menginginkan sebuah masyarakat dan negara yang mengikut lunas-lunas ajaran islam yang idealis seperti yang mereka fahami.
Tetapi realitinya amat berbeza daripada idealisme. Malah untuk mengamalkan ajaran Islam seperti yang dipelajari dan dihayati semasa usrah di luar negara sebelum itu juga merupakan satu cabaran.
Apabila usia meningkat dan berdepan dengan pelbagai masalah dalam keluarga, maka idealisme beransur-ansur luntur apabila menghadapi realiti.
Maka setelah dekad berganti dekad, ke tahun 90-an dan 2000-an, maka apa yang dipelajari dan dihujahkan dalam usrah-usrah tahun 70-an dan 80-an didapati tidak praktikal atau tidak dapat dipraktikkan.
Mungkin kerana kemampuan diri masing-masing sebagai manusia yang tidak berupaya untuk menjadi ideal seperti yang dicita-citakan semasa menjadi pelajar dahulu, maka mereka ini berubah.
Dalam bekerja, mereka akan berhadapan dengan masyarakat dan dunia profesional yang berbeza, malah bertentangan dengan idealisme Islam mereka.
Begitu juga dengan hubungan dalam masyarakat dan kehidupan politik bernegara. Pastinya akan didapati bahawa realiti tidak dapat menampung idealisme, hatta yang berasaskan pada agama.
Penyesuaian perlu dibuat bagi menghadapi realiti. Maka tidak hairanlah apabila didapati bahawa anak-anak muda yang berkobar-kobar bersyarah semasa menjadi pelajar tetapi kemudiannya dari segi amalan hidupnya telah berubah, tidak seperti apa yang diucapkan dalam keluarga, mereka gagal menjadi suami yang baik seperti yang dikehendaki oleh agama, yang akhirnya membawa kepada perceraian. Realiti cinta dan keperluan hidup menjadikan apa yang dicita-citakan hanya merupakan idealisme layak berada dalam kitab-kitab dan isi ceramah semata-mata.
Tentunya setelah hidup berdekad-dekad dan mempunyai pengalaman melalui kerenah pelbagai manusia serta pergolakan dunia, maka seseorang dapat menilai antara idealisme, realiti dan keadaan tidak praktikal sesuatu pegangan. Mungkin keadaan ini dianggap sebagai kematangan dalam usia yang bertambah.
Dalam hal ini kesimpulannya ialah pastinya Islam bukan agama idealis. Dalam tradisi Islam disebut bahawa agama ini menurut fitrah manusia. Kewujudan adalah sunatullah, iaitu aturan Allah. Pastinya agama ini terpancar daripada realiti, dan pasti ia praktikal.
Artikel Oleh Zin Mahmud
P/s : Apa pendapat korang dengan artikel yang dibangkitkan ni?
Idealisme, realiti dan tak praktikal
Posted by Unknown
on 6:29 AM
0 comments:
Post a Comment